Fasabrun Jamil
Loving can hurt, said Ed Sheeran.

listening to: Stranger Sun Instrumental.

...

3 years old kiddo ;)
...

Cintanya selembut kapas, menyapa hati tatkala diri dilanda tangis. Suaranya walaupun garau, itulah kugiran sewaktu rajuk berpanjangan. Abah, marahnya sekadar diam, tidak pernah sekalipun suaranya ditinggikan. Tegurannya halus walaupun terkadang menyentap perasaan. Tapi, susuk tubuh itulah yang selalu berhempas pulas menyediakan segala kelengkapan. Yang selalu ada sewaktu susah dan senang, sewaktu tangis dan tawa.


Setiap kali pulang, abah tidak pernah lupa untuk menghulur wang, lupa bahawa anaknya ini sudah berkerja agaknya. Kebimbangannya terserlah saat bertanyakan sama ada duit belanja bulan ini cukup atau tidak. Lihatlah, seorang ayah yang tidak pernah lupa akan tanggungjawabnya sehingga mencecah umur 25 tahun pun, masih dianggap seperti anak kecil.


Abah tidak pernah bercerita tentang cinta. Aku juga. Dalam kesamaran kata-katanya, terlukis sedikit kekhuatiran. Apakah lelaki yang bakal menjaga aku nanti sepertinya juga? Apakah mampu dia bertahan dengan pelbagai kerenah ku? Abah bimbang. Cintanya begitu dalam. Dia tidak mahu hati anak perempuannya  tercalar sedikitpun. Kerana itu, abah teragak-agak melepaskan. Itu benar. Mana ada lelaki yang mampu mengasihi dan mencintai seperti abah.


Kasihnya tulus sekali. Apa pun yang ku lakukan, masih dia punya kesabaran. Tangannya sekalipun tidak pernah diangkat. Abah tidak garang, tetapi jelas sikapnya bertentangan jika berdepan dengan kawan-kawan lelakiku. Itu biasa. Aku tidak kisah sama sekali. Buatlah abah, buatlah. Biar mereka tahu aku dikawal oleh insan yang begitu inginkan kebahagiaan untuk puterinya.


Tapi, kali ini abah sedar. Dalam redup matanya, dia tahu. Akan ada seorang lelaki yang datang dan akan menjagaku daripadanya. Mungkin abah takut. Sebaik apa pun lelaki itu, tetap juga dirinya adalah yang terbaik. Namun, dia harus juga melepaskan. Kerana waktu terlalu cepat berjalan. Kanak-kanak kecil yang dulunya sentiasa di ribaan, dan dipimpin tangan, sudah menginjak dewasa. Sudah 25 tahun rupanya. Aku faham perasaan abah. Cinta, membuatkan kita begitu ingin menjaga hati dan perasaan masing-masing. Sebab itu, abah tidak pernah bertanya. Dan aku tidak pernah bercerita. Kita sama-sama faham apa yang tersirat. Tapi kita sama-sama diam. Membiarkan waktu mengungkap segalanya. Dan waktu itu, sudah hampir tiba.


Abah,

No matter what happens, you are always in my heart, I reserve the Superhero place only for you. Even falling in love is nothing without your blessing. Please be healthy and stay as my hero. I love you ❤